Andai Itu Takdir-Nya


Aku. Dia. Tiada apa yang istimewa antara kami berdua. Bagiku kami cuma teman biasa. Kami selalu berhubung melalui facebook atau pun SMS. Bercerita tentang persoalan agama saja, tak lebih dari itu. Mungkin ada ketikanya kami bercerita tentang kisah lama, mengungkap nostalgia zaman dahulu kala, ketika masing-masing bertemankan patung dan pistol mainan. Atau pun bercerita perihal keluarga. Lantaran masing-masing diam seribu bahasa. Aku sentiasa mencari topik agar perbualan menjadi sesuatu yang mengujakan.

Selalu halwa telingaku menangkap bisik-bisik kecil dari orang sekeliling, berkata seolah-olah kami melindungkan satu rahsia. Rahsia yang tak pernah wujud dan mustahil untuk wujud. Hakikatnya, aku gembira. Ya. Gembira mendengarkan kata-kata mereka. Walaupun hatiku sering berpesan "itu cuma gurau senda, jangan cepat terpedaya". Dalam diam, aku baru menyedari hakikat yang terlalu sukar untuk aku terima. Aku suka padanya. Ya. Tapi aku cuba menepis perasaan yang baru mengeluarkan tunasnya. Tidak. Itu sesuatu yang sangat mustahil. Kerana perasaan itu bukan baru bercambah tapi sudah menjadi taman dalam hatiku. Agak sukar untukku menghapuskannya.

Aku sedar. Sejak kebelakangan ini dia mulai bosan denganku. Tiba-tiba hatiku menjadi risau. Ya. Terlalu risau. Risau yang hadir kerana perasaanku terhadapnya. Bukan parasnya yang menarik hatiku tetapi agama yang ada pada dirinya. Ya. Aku yakin itu. Kerana, jika wajah yang membuat hatiku sering teringatkannya, pasti sejak pertama kaliku bertemu dengannya aku sudah menjadi tak tentu hala seperti ini. Tapi ianya tidak seperti itu. Namun, agak sukar bagiku untuk mengatakan padanya tentang rasa hatiku. Kerana aku dapat merasakan dia akan menjauh dariku. Lagi pun, seorang alim sepertinya tidak layak dengan diriku yang baru merangkak-rangkak menjadi sepertinya.

Aku sedar. Bukan ini caranya untuk meraih cintanya. Dengan bersms, chatting. Bukan. Tapi berdoa kepada Allah. Jika aku selalu berhubung dengannya sekali pun, seandainya sudah tertulis di Loh Mahfuz dirinya bukan untukku, sampai bila-bila pun dia bukan untukku. Lagi pun, cara ini salah. Berhubung dengan lelaki bukan ajnabi dengan bercerita sesuatu yang tidak penting. Astaghfirullah. Betapa jauh aku menyimpang. Diriku di alam siber bukan seperti diriku yang di alam nyata. Tapi bukanlah aku ingin mengatakan aku ini baik di alam nyata.

Aku memutuskan. Biarlah berhenti sampai di sini. Aku tidak sanggup untuk berhadapan dengan kecewa. Biarlah ku letakkan cinta Allah di mahligai paling tinggi dalam hatiku. Sesungguhnya cinta Allah tidak akan pernah mengecewakan. Semoga Allah memberikan hatiku kepada insan yang melabuhkan cintanya kepada Allah agar dia dapat menarik aku dari mendekati neraka dan bersama-sama menghuni Syurga, Amin.

Kepada Dia. Aku harap kita tetap kawan selamanya. Seandainya kau tercipta untukku, aku pasti suatu hari nanti kau akan menjemputku menjadi zaujahmu. Kerana aku tulang rusukmu yang hilang itu.

|ciptaan semata-mata. tak kena lagi mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah pergi selamanya. saya tahu tak best pon. haha. saja ja ni sebab tengah boring -.- . chill. nak jiwang karrrrat sikit|

Comments

Popular posts from this blog

Hidup ini Milik Aku

Pendam

short hello.