Ustaz Ukaiyl
Dengan langkah yang tidak normal. Ukaiyl menuju ke arah Ferrari putihnya. Pandangan matanya agak kabur. Dia seolah-olah melihat ada seorang lelaki tua duduk di dalam Ferrarinya. Hairan. Bagaimana lelaki tua itu memasuki keretanya? Ukaiyl naik berang. Dengan otak yang kurang waras, dia menjerit-jerit ke arah keretanya. Razif teman setianya di disko yang melihat kejadian itu bergegas mendekati Ukaiyl.
"Bro! kau mabuklah! takda siapa pun dalam kereta kau tu!"Ukaiyl seperti baru sedar terus mendiamkan diri. Beberapa ketika kemudian dia ketawa terbahak-bahak. Entah apa yang lucu. Dengan mata yang agak kabur dan kepala yang berdenyut-denyut kesakitan akibat meminum arak yang berlebihan, Ukaiyl menggagahi diri memandu Ferrarinya pulang ke rumah agamnya. Setibanya dia di rumah agam itu, seorang wanita tua menantinya di muka pintu. Hairan. Kerana rumah besar itu hanya dihuni oleh dirinya dan sepasang suami isteri yang berkhidmat sebagai orang gajinya, Pak Hasan dan Mak Teh. Dan bukan menjadi kebiasaan Mak Teh untuk menunggunya pulang, kerana dia telah mengarahkan Mak Teh agar tidak menunggu kepulangannya.
Terhuyung-hayang dia menuju ke pintu rumah itu. Tiada siapa yang berdiri di situ. Malas hendak memikirkan siapa yang menantinya tadi, Ukaiyl segera menuju ke biliknya. Hilang semua penat lelahnya apabila dia menghempaskan tubuhnya ke atas tilam empuknya. Senyum. Ya, Ukaiyl tersenyum kerana dia bangga dengan dirinya. Hasil usahanya dia berjaya memiliki rumah agam sendiri. Tak sia-sia dia meninggalkan kampungnya semata-mata untuk mencari kemewahan di kota metropolitan ini. Masih segar dalam ingatannya wajah Ibunya yang menangis-nangis kerana enggan melepaskannya pergi. Abah? Abahlah yang menyebabkan Ukaiyl nekad untuk pergi! Kalau bukan kerana tempikkan Abah hari itu dan kalau bukan kerana egonya yang tinggi menggunung, semua kemewahan yang dimilikinya hari mungkin hanyalah angan-angan saja. Dengan senyum yang masih berbaki, akhirnya Ukaiyl terlelap jua.
Tiba-tiba dadanya berombak laju. Irama degupan jantungnya menjadi tidak sekata. Nafas menjadi tidak teratur. Peluh memercik di dahi. Walaupun ditambah suhu biliknya, tetap sama. Apa dah jadi? Ukaiyl tertanya-tanya. Matanya masih terkatup rapat. Dia dapat merasakan seolah-olah ada sesuatu bergerak dari kakinya hingga ke tengkuknya. Mata Ukaiyl terbuka tapi nafasnya turut terhenti sama.
"kenapa ni??si..si..siapa yang tidur atas katil aku..ya Allah! apa dah jadi ni ya Allah??!"Ukaiyl dapat melihat dengan jelas, yang berada di katil itu ialah jasadnya. Ya. Dia sangat pasti. Ukaiyl dapat merasakan dia sudah tiada lagi di dunia ini. Ukaiyl menangis. Meraung sekuat hati. Namun segalanya sia-sia. Kedengaran bunyi ketukkan. Berkali-kali pintu biliknya diketuk. Kemudian kelihatan seorang wanita tua masuk ke dalam biliknya dan cuba membangunkan mayat yang terbaring dengan mata terbeliak.
"ya Allah! Tuan! Abang! Tuan bang..!"Mak Teh menangis teresak-esak dan dalam masa yang sama dia berlari menuju ke tingkat bawah untuk mendapatkan suaminya, Pak Hasan yang menyiram bunga di kebun. Setelah memberitahu berita kematian Tuan muda rumah agam tersebut, mereka berdua memeriksa lagi sekali untuk memastikan Tuan muda tersebut betul-betul sudah tiada. Ukaiyl yang kini sah menjadi roh tidak mampu berbuat apa-apa. Hanya air mata mengalir tanpa putus-putus. Hatinya pedih terpaksa meninggalkan kemewahan yang baru hendak dirasainya.
Orang-orang masjid begitu tangkas melaksanakan tugas mereka. Kini mayat Ukaiyl sudah siap dikebumikan. Satu langkah. Dua Langkah. Tiga Langkah. Empat Langkah. Lima Langkah. Enam Langkah. Tujuh Langkah. Ukaiyl seperti merasakan tubuhnya berada di suatu tempat yang sempit dan gelap. Ukaiyl menangis, menangis dan menangis. Datang dua makhluk Allah mula mempersoalkan satu demi satu perbuatannya ketika hidupnya. Ukaiyl dipukul, dibakar berulang-ulang kali. Raungan dan titisan air mata yang mengalir ketika itu tiada gunanya. Kerana dia telah mensia-siakan hidupnya ketika di dunia. Ya. Ketika di dunia, dia melupakan tanggungjawabnya kepada Allah. Solat hanya ditunaikan ketika kecil sahaja. Ketika dia masih berada dibawah penjagaan orang tuanya. Apatah lagi hendak membaca al-Quran. Walaupun dia kaya, memiliki rumah agam, kereta Ferrari, makanan sedap dan lazat setiap hari tapi hakikatnya dia miskin. Senaskhah al-Quran pun dia tidak mampu membelinya. Sehelai sajadah pun dia tidak memilikinya.
"Ya Allah.. seandainya aku bisa kembali ke dunia. Aku akan bertaubat kepadaMu ya Allah.. Ibu! Ampunkan Ukaiyl.. Abah! Tolong Ukaiyl! Ukaiyl tak sanggup bah.. Panas!Panas!"Ukaiyl dapat merasakan seperti ada tangan yang menggegar tubuhnya. Dalam sekelip mata dia dapat menangkap suara Mak Teh yang kecemasan membangunkannya. Ukaiyl segera bangun. Diam. Lama dia mendiamkan diri. Mak Teh memberitahu bahawa dia mendengar suara Ukaiyl menjerit-jerit nama ibu dan abahnya. Ukaiyl memandang Mak Teh yang lengkap bertelekung. Dikerling sekilas jam di dinding. Tidak lama kemudian Pak Hasan datang bertanyakan keadaan dirinya. Ukaiyl masih mendiamkan diri. Beberapa saat kemudian kedengaran sayup-sayup suara bilal melaungkan azan Subuh. Tiba-tiba, setitis demi setitis air mata Ukaiyl jatuh.
"Pak Hasan.. boleh saya solat berjemaah dengan Pak Hasan..?"------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Di satu sudut dalam masjid itu, kelihatan seorang pemuda sedang khusyuk berzikir dan membaca Al-Quran. Sehingga kelihatan ada titisan air jernih keluar dari pelupuk matanya. Ya. Dia menangis. Furqan yang sedari tadi memerhati pemuda itu lantas bergerak mendekatinya. Bahu pemuda itu ditepuk lembut. Dia kelihatan sedikit terkejut segera mengelap air matanya dan menghadiahkan sebuah senyuman kepada Furqan. Furqan membalas kembali.
"Assalamualaikum. ana Furqan. Selalu ana nampak anta bertafakur di sini. siapa nama anta?"
Pemuda itu tersenyum seraya menjawab"waalaikumussalam. Ukaiyl. Ustaz Ukaiyl.|cerita ini cuma rekaan semata-mata tiada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau pun yang telah meninggal dunia. sekian :)|
Comments
Post a Comment